Wednesday, May 4, 2011

TIADA ALASAN GAGAL JIKA BERUSAHA


Dulu anak muda ini begitu pemalu. Sukar untuk mengajak dia bercakap lebih-lebih lagi di depan orang ramai. Apatah lagi memberikan motivasi kepada para pelajar sekolah. Malah kira-kira 10 tahun lalu, dia seperti kebanyakan rakan sebaya yang lain, nakal dalam lingkungan yang tersendiri.

Antara kegiatannya ialah terikut-ikut dengan remaja yang menjadi mat rempit di jalanan. Kesannya, dia mendapat pangkat 3 dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Namun itu kisah silam.
Hari ini Najmil Faiz Mohamed Aris, 27, mampu tersenyum dengan pencapaiannya. Hakikatnya dia berjaya mencipta kejayaan membanggakan negara yang jarang dilakukan oleh anak-anak muda seusianya.

"Kejayaan saya berpunca daripada kegagalan," kata anak kelahiran Ipoh, Perak tetapi dibesarkan di Pasir Mas, Kelantan kepada wartawan SITI MARIAM MD. ZAIN ketika ditemui di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Najmil, bekas pelajar Leeds Metropolitan University dan kini mengikuti pengajian peringkat doktor falsafah dalam bidang kejuruteraan di Brunei London University telah berjaya memikat kerajaan Britain termasuk Menteru Perindustrian, Brian Edden untuk memenangi anugerah The Best Research of Good Prospect tahun lalu.

Kejayaan mencipta teknologi nano terkini yang akan membantu meminimumkan geseran dan kehausan terhadap peralatan perkilangan dan sekaligus membolehkan sektor perkilangan dan pembuatan seluruh dunia menjimatkan kos berbilion ringgit, melayakkannya diiktiraf antara pelajar Asia yang paling cemerlang.

Menurut anak kedua daripada enam adik beradik ini, bukan mudah baginya berada pada kedudukan sekarang.
Pun begitu dengan berkat usaha dan kesungguhan, tiada apa yang tidak mampu dicapai oleh seseorang itu.

Biar terpaksa bertungkus-lumus bekerja sambil belajar sehingga tidur hanya dua tiga jam sehari, malah pada waktu rehat tengah hari, sementara menunggu kuliah petang, pun masih perlu bekerja, hari ini usahanya itu berbaloi.

"Tiada alasan untuk gagal jika kita berusaha," katanya.

Pada kebanyakan orang, pangkat tiga ini 'gagal', pada Najmil sendiri?

Gagal bagi saya sebagai satu motivasi untuk melakukan yang lebih baik lagi. Dari situ saya akan mengkaji sebab-sebab kegagalan saya. Memang saya kecewa tetapi kekecewaan saya sementara sahaja (tersenyum). Kerana yang penting bagi saya ialah memikirkan cara menebus semula kekecewaan yang dihadapi.

Sebab utama Najmil 'gagal' dalam SPM?

Fator kecuaian. Ini yang patut saya ngatkan kepada para pelajar. Kalau saya bagi ceramah pun saya akan tekankan perkara ini. Sebab yang saya gagal ialah saya terlalu yakin. Masa itu saya mengambil kertas lukisan teknikal (Technical Drawing). Kertas ini wajib bagi kursus kejuruteraan yang saya ambil. Saya baca soalan tak teliti. Soalan pertama suruh lukis semula dalam kertas putih yang disertakan. Saya memang yakin dapat buat. Bila keluar dari dewan peperiksaan, saya bawa sekali satu lagi kertas soalan warna biru. Kawan-kawan tanya, "Kau tak jawab ke soalan itu?" Rupa-rupanya ada juga soalan yang kena jawab pada kertas biru tersebut.

Apa tindakan Najmil?

Saya terus jumpa pengawas peperiksaan, tetapi dia kata, tak boleh buat apa-apa lagi, toong tulis nama awak.
Bila keputusan keluar, saya gagal dapat kredit. Ini kertas wajib. Itu menyebabkan saya dapat pangkat tiga.

Perasaan Najmil bila dapat pangkat tiga?

Kecewa sungguh sebeb masa percubaan, saya dapat pangkat satu. Saya jangka keputusan peperiksaan sebenar mesti lebih baik daripada percubaan. Tetapi saya dapat agregat 25, patutnya pangkat dua, disebabkan subjek lukisan teknikal saya tak kredit, kelayakan saya terus jatuh ke pangkat tiga.

Reaksi orang tua?

Walaupun saya dapat pangkat tiga, mereka sentiasa memberi semangat.
Benda yang lepas, biarkan lepas. Yang dah lepas tak sama dengan masa depan. Tumpukan saja pada masa depan, yang belakang itu tak payah nak fikirkan sangat, kata mereka.

Tentang kekecewaan ini - apa maknanya pada Najmil?

Kecuaian yang saya lakukan akhirnya saya dapat menimba pengalaman, bagaimana orang lain pandang rendah pada kita. Tetapi dalam masa yang sama, saya tahu, saya berkeupayaan untuk melakukan yang terbaik dalam hidup. Saya tahu walaupun gagal, tetapi saya mampu bangun balik untuk masa depan yang lebih cemerlang.

Di sekolah dulu Najmil seorang pelajar yang cemerlang?

Saya pelajar sederhana. Subjek yang saya minat, saya boleh dapat keputusan baik. Nakkata pelajar yang pandai tak juga, cuma sederhana.

Nakal?

Budak lelaki biasanya kalau tak nakal, maknanya ada sesuatu yang tak kena (ketawa).

Apa Najmil buat selepas SPM?

Habis SPM, saya bekerja sekejap. Pada mualanya saya nak cari kerja di Kuala Lumpur tetapi orang tua tak bagi. Mereka takut saya terpengaruh dengan gejala-gejala sosial. Saya pun tak ada pilihan, bekerja di stesen minyak di kampung sebagai pembantu pam (pump attendant). Dari situ baru saya nampak reaksi orang.

Maksudnya?

Saya boleh tengok tanggapan orang. Ada juga kawan-kawan yang semasa di kampung, kami boleh minum sekali, bersembang bersama tetapi bila jumpa di stesen minyak, mereka buat macam tak kenal saja. Malah salah seorang rakan perempuan yang sama kelas dengan saya semasa di sekolah bila datang isi minyak, dia cakap, "itulah kau, dulu malas belajar, main-main banyak. Sekarang padan muka, kerja lah kat pam minyak."

Dari situ, baru saya tahu, betapa kalau kita 'bukan sesiapa', macam mana tanggapan mereka. Baru saya tahu langit tinggi ke rendah. Bila kita buat sesuatu yang boleh dibanggakan, baru semua orang nak mengaku saudara.

Pengajaran dari semua ini?

Ia membuatkan saya lebih bersemangat untuk memperbaiki diri sebenarnya.
Difahamkan Najmil sambung pelajaran peringkat diploma di kolej swasta?

Saya ambil diploma dalam bidang kejuruteraan mekanikal di sebuah kolej di damansara. Tamat belajar, saya bekerja sekejap, lebih kurang dua tahun sebagai juruteknik di kilang Epson untuk kumpul duit ke luar negara.

Apa cabaran yan dihadapi pada peringkat awal di rantau orang?
Saya terpaksa buat macam-macam kerja. Yang mana boleh dapat duit, saya buat. Saya pernah buat sampai tiga kerja sehari. Masa kerja, saya akan sesuaikan dengan jadual belajar. Badan memang letih tetapi sebab takut gagal itu lebih kuat mempengaruhi diri, saya cuba lupakan sahaja. Saya bayar sendiri kos belajar saya.

Mula-mula sampai, saya hanya ada 200 Pound dalam tangan.
Ekonomi saya terhad sangat. Apa yang saya buat dulu, banyak makan roti. Boleh dikatakan satu hari itu, saya makan roti sahaja. Biasanya sebelah malam, saya dah siap buat bekal untuk pagi.

Saya sapu roti dengan jem dn bungkus dalam plastik sebelum letak dalam beg siap-siap. Sebab saya takut kalau-kalau saya terlambat bangun. Berat badan saya turun. Saya kurus. Bila saya hantar gambar pada emak, emak kata, dah tak ada punggung dah (ketawa). Bila dah dapat kerja dan keadaan ekpnpmi agak stabil, baru saya dapat merasa makan nasi.
Beras di sana lagi sedap (senyum).

Pengalaman yang tidak dapat dilupakan?

Masa baru mula kerja, saya kerja pagi, kena keluar awal sebab masuk kerja dalam pukul 7 pagi. Jadi pukul 5.30 pagi atau pukul 6 pagi, saya dah mula berjalan. Semasa itu musim salji, sejuk, keadaan berkabus, saya jalan seorang diri pun nampak tak nampak sahaja. Waktu itu saya rasa macam dalam mimpi. Mulalah terfikir, betapa susahnya hidup di negara orang. Kalau duduk di Malaysia, taklah macam ini. Tetapi saya kuatkan semangat. Saya kata, dah buat, biar buat betul-betul. Tak kisah, saya harungi juga salji yang memutih.

Pernah rasa putus asa?

Setakat ini belum lagi. Kalau kecewa sekejap itu adalah. Tetapi putus asa tak ada. Putus asa maknanya kita gagal. Bila saya dah ambil keputusan untuk meneruskan pelajaran saya di luar negara, saya cuma takut satu sahaja - tak lepas. Jadi saya akan buat apa sahaja untuk memastikan kejayaan berpihak kepada saya. Walaupun letih kerana terpaksa bekerja mencari duit untuk menampung hidup, saya tak pernah abaikan pelajaran.

Bila tak cukup duit, apa yang Najmil lakukan?

Bila berhadapan dengan keadaan itu, saya terpaksa mengutamakan benda-benda yang lebih penting. Masa tak ada duit saya biasa jalan kaki untuk ke satu-satu tempat walaupun jauh. Tentang makan, kalau boleh bertahan saya tahan. Tetapi sepanjang pengalaman saya, tak pernahlah sampai putus duit.

Dulu Najmil juga tidak fasih berbahasa Inggeris?

Bahasa Inggeris saya memang tak bagus, bolehlah cakap tetapi berterabur. Bila kita sampai sana, kita nak tak nak kena cakap juga kan? Kita tak ada pilihan. Dari situ, saya perbaiki lagi bahasa saya. Tak perlu takut, cuma kita perlu banyak membaca buku Bahasa Inggeris dan banyak berakap.

Macam mana menyiapkan tugasan (assignment)?

Yang penting kita belajar berkomunikasi dengan pensyarah, jumpa mereka, bagi mereka kenal kita, bagi tahu dan jelaskan keadaan kita yang sebenarnya. Ini penting supaya mereka nampak kita ada usaha, kesungguhan.

Berapa lama masa yang diambil untuk menyesuaikan keadaan ini?

Enam bulan hingga setahun.


Bila fikir-fikir semula, apa yang boleh Najmil katakan sekarang?

Pengalaman saya itu, susah senang, buruk baik yang saya lalui menjadi sebahagian daripada proses pembelajaran yang akan lebih mematangkan diri saya.


Kunci kejayaan Najmil?

Kena berani. No risks, no gains. Sama ada gagal atau berjaya, yang penting kita cuba dahulu. Sebenarnya apa yang saya buat, kalau boleh saya tak nak simpan untuk diri sendiri.

Yang mana boleh disumbang, saya bersedia menyumbang. Buat masa ini yang mampu saya buat ialah menulis buku. Dalam buku ini menceritakan bagaimana perjalanan hidup saya di rantau orang, cabaran yang saya hadapi dan tip-tip untuk belajar.


Cita-cita sebenar Najmil?

Cita-cita saya jurutera. Dalam masa sama, saya bercita-cita nak menjadi seorang usahawam, orang korporat.

Apa yang penting sebagai persediaan untuk belajar di luar negara?

Kalau kita tahu Bahasa Inggeris, itu satu kelebihan. Tapi kalau tak fasih, itu bukan satu alasan. Satu lagi ialah kita perlu lakukan persediaan secukupnya. Kita kena tahu di mana letaknya tempat yang kita nak pergi. Kalau peruntukan yang ada pada kita adalah kecil, jangan pilih universiti di bandar-bandar besar.

Macam saya bernasib baik, kebetulan tercampak ke luar bandar. Yang paling baik ialah cuba dapatkan maklumat daripada para pelajar atau bekas pelajar yang pernah belajar di luar negara. Apa yang perlu dan apa yang tidak perlu mereka lakukan. Bila berada di luar negara, kita tidak boleh malu, kita kena buat muka tebal sebab kalau tidak, kita juga yang akan susah akhirnya.

Nasihat Najmil kepada mereka yang masih 'lalai'?

Kita semua bukan bodoh. Yang kita kurang ialah kesedaran. Bila kita tak nampak benda ini menguntungkan ayau tidak, kita tidak akan buat. Saya dulu pun main-main, nakal juga. Tetapi bila dah nampak masa depan, lima atau 10 tahun akan datang, apa yang kita nak capai, kita tak cukup masa untuk main-main. Tak ada motor-motor ni dah. Jadi kesedaran ini yang mereka tiada, sebab itu buat perkara-perkara begitu. Kalau kita dapat memecahkan cengkerang yang membelenggu mereka untuk berfikir, saya pasti mereka akan sedar. Kita nak berjaya ni ada banyak cara.

Kalau ada inspirasi, itu akan mendorong kita mencapainya. Ataupun kita dalam keadaan tertekan, "Aku kalau tak lepas ini naya" Jadi, kita akan buat bersungguh-sungguh.

Kalau mereka nampak jalan di depan, mereka tak akan ada masa untuk lepak-lepak atau buat kerja bodoh, nak jadi superman atas motor atau sebagainya. Kadang-kadang saya pun terfikir juga, saya dah umur 30 tahun masih berperangai budak-budak. Mungkin mereka tak terfikir lagi. Tetapi kalau mereka tahu apa yang perlu dibuat, bagaimana dengan mereka, mereka sendiri akan tahu menentukan batas-batas pergaulan yang sepatutnya.


Siapa yang lebih patut memainkan peranan ini?

Kita kena beri bantuan juga pada mereka. Itu sebab kita kena 'bebaskan' mereka dari belenggu pemikiran. Saya dulu pun kalau orang tegur, marah. Yang terbaik ialah gunakan psikologi. Bagi mereka nampak jalan.


Najmil bangga dengan pencapaian sekarang?

Saya rasa berbaloi. Sekurang-kurangnya boleh buat saya tersenyum sedikit. Tetapi usaha ini belum berakhir lagi. Banyak lagi masa untuk saya tempuhi, 20 tahun lagi apa saya nak jadi? Takkan nak jadi begini sahaja kan?


Apa perancangan Najmil dalam tempoh 20 tahun lagi?

Cita-cita saya nak terlibat dalam bidang korporat. Saya nak jadi Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) (ketawa). Saya nak mewujudkan satu peluang pekerjaan yang baru, untuk menarik orang-orang kita bekerjasama. Ini semua ada dalam rancangan saya. Insya-Allah kalau tiada apa-apa, saya akan cuba melaksanakannya.


Nasihat Najmil Kepada remaja-remaja di luar sana?

Kalau kita nak sesuatu, memang kita boleh dapat. Bezanya sama ada cepat atau lambat sahaja. Macam kes saya, mungkin mereka yang berbahasa Inggeris, perjalanannya mudah sedikit. Sama macam kita bawa Kancil dan Mercedeslah. Nak pergi ke satu tempat yang sama. Kancil boleh sampai juga tapi lambat sikit. Tetapi kalau kita ubahsuai sikit Kancil itu, mungkin letak enjin turbo atau sebagainya, kita boleh cepat juga sampai. Hakikatnya tiada apa yang kita tak boleh capai, yang penting kita sanggup usaha atau tidak.

No comments:

Follow by Email

My Birthday

Daisypath - Personal pictureDaisypath Happy Birthday tickers

Hubby Birthday

Daisypath - Personal pictureDaisypath Happy Birthday tickers

Popular Posts

Live Traffic Feed